POLITIK

Nurul Syazwani kecam kenyataan Rafizi sifatkan subsidi ‘tahyul lama’

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang melabel pendekatan subsidi terdahulu sebagai ‘tahyul lama’ dikritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Permatang, Nurul Syazwani Noh yang menyifatkannya sebagai angkuh dan tidak sensitif terhadap realiti rakyat.

Nurul Syazwani menegaskan bahawa isu subsidi bukan sekadar perbahasan teori ekonomi, sebaliknya melibatkan kelangsungan hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini bukan soal teori ekonomi, ini soal perut rakyat,” katanya menerusi hantaran facebook hari ini.

Menurut beliau, golongan seperti pesawah, nelayan dan peniaga kecil merupakan antara kumpulan paling terkesan sekiranya subsidi bahan api dikurangkan atau ditarik balik.

“Pesawah guna diesel untuk jentera, bukan untuk gaya hidup. Nelayan bergantung kepada subsidi untuk turun ke laut.

“Peniaga kecil pula menanggung setiap kenaikan kos pengangkutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau membandingkan pendekatan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) yang menurutnya meletakkan subsidi sebagai tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, meskipun tidak sempurna.

“Saya tegaskan rakyat luar bandar masih sangat memerlukan subsidi. Ini bukan nostalgia lama ini realiti hari ini,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya menumpukan usaha kepada penghapusan ketirisan, pembanterasan pembaziran serta memastikan hasil negara dikembalikan kepada rakyat, bukannya membebankan golongan sasar.

“Bila pemimpin mula menggelar kesusahan rakyat sebagai ‘tahyul’, itu tanda mereka sudah terlalu jauh dari denyut nadi rakyat,” tambahnya.

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan rakyat perlu menerima realiti bahawa keadaan ekonomi negara telah berubah, khususnya dalam isu subsidi petrol dan diesel.

Katanya, Malaysia tidak lagi mampu menanggung subsidi seperti dahulu berikutan penurunan pengeluaran minyak mentah daripada sekitar 700,000 tong sehari pada 2008 kepada kira-kira 340,000 tong sehari kini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button