BERITA SEMASA

Pendidik bentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan generasi masa depan – Zambry

TANJONG MALIM – Pendidik memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan yang menjadi asas pembangunan generasi masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tanggungjawab guru dan pensyarah bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut membentuk pemikiran, sahsiah serta keupayaan golongan muda membuat keputusan secara bertanggungjawab dalam menghadapi perubahan dunia.

Beliau berkata, meskipun sumbangan pendidik tidak sentiasa mendapat pengiktirafan masyarakat, peranan mereka dalam membentuk generasi tidak boleh dipandang ringan.

“Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.

Zara salim
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama barisan penerima anugerah Global Educator Award pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.

Dalam pada itu, Zambry berkata kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan institusi dalam penarafan antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira impak sebenar pendidik terhadap kehidupan masyarakat.

Katanya, pendidik cemerlang boleh dilahirkan di mana-mana sahaja, termasuk universiti terkemuka, sekolah luar bandar dan institusi komuniti kecil, kerana keupayaan mengubah kehidupan manusia merupakan ukuran sebenar kecemerlangan.

Sehubungan itu, beliau berharap GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya dapat berkembang sebagai platform antarabangsa yang berwibawa dalam mengiktiraf pendidik cemerlang, mempromosikan inovasi serta memperkukuh kerjasama pendidikan merentas negara.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penganjuran GEA 2026 mencerminkan aspirasi universiti itu untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata edisi kali ini menerima sebanyak 472 pencalonan dari 83 negara sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.

“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.

Pada majlis itu, tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah.

Penerima Avant-Garde Teacher Award ialah Prof Madya Dr Jayanthi Arasan dari Malaysia, manakala Eminent Education Researcher Award disandang Dr Mahdi Kolahi dari Iran.

Community Outreach Award pula diterima Peter Mokaya Tabichi dari Kenya, sementara Esteemed Teacher Educator Award diberikan kepada Prof Madya Dr Evania Yafie dari Indonesia.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Transforming Educational Institution Award, manakala The HONOR EdTech Innovation Excellence Award diberikan kepada Siti Ainulmursyida Shamsudin dari Malaysia.

Inspiring Educational Leader Award dimenangi Kashmira Jaiswal dari India, sementara The Legacy Educator Award diterima Chan Hung dari Hong Kong.
Penerima bagi kategori Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317.

Penerima The Legacy Educator Award pula membawa pulang trofi dan geran penyelidikan bernilai RM40,634.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button