BERITA SEMASA

Masjid baharu tepi laut mampu jana ekonomi, tarik pelancong ke Telok Mas – Kapten Mat

TELOK MAS – Cadangan pembinaan masjid baharu di kawasan pesisir pantai dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan setempat, sekali gus memberi nilai tambah kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar berkata, masjid berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai pusat ibadah, malah boleh dibangunkan sebagai pusat sehenti yang menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan dan tarikan pelancongan.

Menurutnya, lokasi berhampiran laut serta pusat nelayan berpotensi mewujudkan suasana menarik yang mampu menarik kehadiran pengunjung, selain membuka peluang menjana pendapatan kepada masyarakat setempat.

“Kita nak bina satu masjid yang boleh menjana pendapatan dan pelancongan kepada rakyat tempatan, pusat perniagaan, keindahan di situ di tepi laut dan berdekatan dengan pusat nelayan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen, baru-baru ini.

Mengulas rasional cadangan itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Kapten Mat berkata, kedudukan Masjid Telok Mas sedia ada berhampiran jalan utama tidak lagi sesuai dan dikhuatiri boleh mengundang risiko keselamatan kepada jemaah.

Bagaimanapun, beliau mengakui masjid berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana merupakan masjid tradisional yang dikaitkan dengan zaman Raja Haji dan masyarakat Bugis.

“Masjid yang ada sekarang ini tak sesuai dari segi kedudukan walaupun masjid itu masjid tradisional dari zaman Raja Haji, zaman Bugis di situ.

“Jadi kita nak ubah masjid itu ke satu tapak yang lain, nak buatkan masjid itu di tepi laut,” katanya.

Dalam pada itu, Kapten Mat turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan golongan muda agar kemajuan kawasan berkenaan turut disertai pengukuhan nilai agama dan budaya.

“Kita mahu anak muda ada nilai tambah. Kita tidak menolak hiburan, tetapi hiburan yang berteraskan budaya yang tidak keterlaluan.

“Dari segi muzik dan agama tiada masalah, perlu ada keseimbangan,” ujarnya.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Telok Mas antara Mohamad Jaafar mewakili PH, penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada Bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button