BERITA SEMASA

PRN Melaka: SPR tentukan tarikh hari ini

MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sebuah hotel di Jalan Bendahara, di sini hari ini.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu dijadual bermula 10 pagi, sebelum satu sidang media diadakan sejurus selesai mesyuarat berkenaan.

Sidang media tersebut diadakan bagi mengumumkan tarikh penting PRN Melaka termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan undi awal, hari pengundian dan tempoh berkempen serta maklumat mengenai lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Pada 22 September lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berkuat kuasa pada 23 September bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.

PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan seterusnya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button