Polis Laos rampas 521kg syabu dari jet peribadi tiba dari Malaysia
PHNOM PENH – Polis Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine atau syabu yang ditemukan dalam sebuah jet peribadi dipercayai tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, 1 Oktober lalu.
Dalam operasi itu, seramai 13 individu ditahan termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat, pelancong asing, tiga pekerja syarikat serta tujuh pekerja lapangan terbang.
Vientiane Times yang memetik laporan Lao Security Newspaper hari ini berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai kegiatan sindiket yang dipercayai merancang menyeludup dadah merentasi sempadan menggunakan pesawat peribadi.
Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat bahawa jadual penerbangan terbabit diubah dan pesawat berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada kira-kira 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.
Susulan itu, pihak berkuasa keselamatan awam wilayah mengarahkan unit khas menjalankan pemantauan sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap pesawat berkenaan.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan 23 beg pakaian dan 500 bungkusan mengandungi crystal methamphetamine dengan berat keseluruhan 521 kg.
Daripada jumlah itu, 21 beg mengandungi bahan berhablur putih yang dikenal pasti sebagai crystal methamphetamine.
Selain dadah, polis turut merampas sebuah jet peribadi jenis Learjet dan sebuah trak pikap yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Tiga daripada 13 individu yang ditahan adalah wanita, manakala pesawat terbabit dikenal pasti sebagai Learjet dengan nombor pendaftaran N73GP.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








