Murid 11 tahun didakwa hilang rupanya bersembunyi dalam tandas sekolah
KULIM – Misteri kehilangan seorang murid perempuan berusia 11 tahun terjawab selepas dia ditemui bersembunyi di dalam tandas sekolah, selepas rakannya mendakwa dia keluar bersama lelaki menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.20 pagi apabila seorang guru lelaki menerima aduan daripada seorang murid bahawa rakannya hilang dan dipercayai keluar dari sekolah bersama lelaki tidak dikenali menaiki motosikal.
Beliau berkata, guru yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa murid berkenaan sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Kob.
Menurut Syamsul, sebelum kejadian, murid terbabit hadir ke sekolah seperti biasa kira-kira jam 7.20 pagi selepas dihantar kakaknya sebelum menyertai perhimpunan pada pukul 8 pagi.
“Ketika perhimpunan, dia bermain sanggul rakannya yang kemudian menarik tudung murid terbabit, sehingga anak tudungnya terjatuh.
“Selepas perhimpunan, murid itu yang berasa marah dengan tindakan rakannya, pergi ke tandas untuk membetulkan tudung dan kemudiannya bersembunyi di dalam tandas serta tidak masuk ke kelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata, apabila murid berkenaan didapati tiada di dalam kelas, seorang lagi rakannya memaklumkan kepada guru bahawa dia keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki menaiki motosikal.
Katanya, hasil rakaman percakapan mendapati rakan murid berkenaan mengaku mereka-reka cerita itu kerana sakit hati terhadap murid terbabit.
“Rakan yang menarik tudung juga mengetahui cerita tidak benar, namun mengiyakannya,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati murid berkenaan tidak pernah keluar dari kawasan sekolah, sebaliknya berada di dalam tandas sekolah.
Sementara itu, ibu saudara murid berkenaan mengakui keluarganya bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu dan bersyukur selepas dia ditemui semula.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila orang ramai diminta membantu mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang, kononnya mengikut lelaki menaiki motosikal di kawasan sekolah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








