JENAYAH & MAHKAMAH

Penceramah bebas didakwa gangguan seksual direman dua hari

KANGAR – Seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan dakwaan gangguan seksual membabitkan mangsa bawah umur direman selama dua hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Amiruldin Roslan, di Kompleks Mahkamah Kangar selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat polis.

Suspek yang memakai kemeja-T hitam tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis dan dikawal ketat anggota keselamatan.

Semalam, polis meminta penceramah motivasi berkenaan hadir ke balai bagi membantu siasatan susulan satu laporan yang diterima pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, individu berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk memberikan kerjasama dan keterangan.

Polis turut menggesa mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebelum itu, beberapa wanita membuat pendedahan di media sosial dengan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi atau grooming oleh lelaki terbabit.

Susulan isu itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan dan perlindungan murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button