JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut di sekolah, dipercayai dibunuh

BATU PAHAT – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, dekat sini semalam, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Mangsa berusia 16 tahun itu dilaporkan ditemukan di dalam dewan sekolah pada sebelah petang selepas neneknya pergi mencarinya apabila dimaklumkan bahawa mangsa tidak berada di rumah.

Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal dikatakan hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas tuisyen pada sebelah petang.

“Nenek mangsa menyedari kehilangan cucunya selepas seorang rakan bertanyakan sama ada mangsa berada di rumah pada tengah hari.

“Selepas mendapati mangsa tiada di rumah, neneknya bergegas ke sekolah sebelum menemukan remaja terbabit dalam keadaan terbaring,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sumber berkata, mangsa ketika ditemukan masih dalam keadaan sedar sebelum tidak sedarkan diri.

Pemeriksaan awal turut mendapati terdapat kesan darah yang telah kering serta lebam pada tubuh mangsa, dipercayai akibat dipukul.

Mangsa dilaporkan merupakan anak yatim dan tinggal bersama neneknya di daerah berkenaan selepas kematian ibunya, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.

Beberapa kenderaan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Orang ramai juga dilihat berkumpul di luar pagar sekolah bagi mengikuti perkembangan kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button