BERITA SEMASAPMX

RM980 juta setahun tampung kerugian FELDA, kerajaan enggan bebankan peneroka – PM

SERDANG – Kerajaan terpaksa menyediakan RM980 juta setiap tahun bagi membayar hutang susulan kerugian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peneroka tidak seharusnya dibebankan akibat kelemahan pengurusan agensi itu, apatah lagi peruntukan hampir RM1 bilion tersebut merupakan wang kerajaan dan rakyat yang terpaksa digunakan bagi menampung kerugian agensi tersebut.

Menurut beliau, keadaan itu boleh difahami sekiranya kerugian berpunca daripada bencana alam, namun tidak wajar jika ia berlaku akibat pengurusan yang lemah serta amalan mengambil hak rakyat oleh pihak yang diberi amanah.

“Begitu juga dengan isu FELDA, setiap tahun Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta dana untuk membayar hutang akibat kerugian FELDA, hampir satu bilion ringgit dari wang kerajaan, wang rakyat.

“Kita terpaksa bayar, jika disebabkan bencana alam bolehlah kita faham tetapi ini disebabkan oleh pengurusan yang lemah dan amalan mengambil hak rakyat oleh orang-orang yang diamanahkan,” katanya.

Baca juga : Anwar tegaskan siasatan FELDA, TH bukan polemik politik, iri hati dan dendam

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan tidak seharusnya memindahkan beban akibat kelemahan pengurusan itu kepada peneroka yang sebahagian besarnya datang daripada keluarga dan kampung yang kurang berada.

“Bagaimana saya nak bebankan peneroka dari kampung yang miskin, ia bukan salah mereka. Urus lemah, wang songlap atau ada sakau, kemudian apabila rugi nak bebankan kepada orang kampung, peneroka… saya tak sanggup,” tegasnya.

Menurutnya, kerajaan terpaksa menanggung kos berkenaan kerana tidak mahu peneroka menjadi mangsa kepada masalah yang bukan berpunca daripada mereka.

Beliau berkata, kerajaan pada masa sama terus berusaha membantu peneroka termasuk menyediakan tambahan dana sebanyak RM450 juta untuk membaiki rumah petugas FELDA.

Katanya, bantuan itu diperlukan selepas mendapati terdapat rumah peneroka yang sudah puluhan tahun tidak dibaiki sehingga mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, pintu dan bilik air.

“Kalau diurus baik FELDA rakyat tak terbeban. Kita tak payah fikir nak cukai sebab pengurusan baik,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, pengurusan wang rakyat perlu dilaksanakan secara cermat dan penuh amanah kerana kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab kepada rakyat, malah kepada Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button