PRN17 Sabah: PH terus runding dengan BN, GRS – Anwar
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan terus mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah meskipun BN memutuskan tidak bekerjasama dengan GRS.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan BN itu dihormati, namun PH kekal komited mencari titik kesepakatan terbaik antara semua pihak.
“Datuk Seri Zahid (Hamidi) maklumkan pada saya rundingan agak buntu. Kita doakan ada kesepakatan, tapi kita hormati keputusan BN.
“Tidak ada soal tersepit, kita kerjasama dengan BN, kita bincang juga dengan GRS. Apa pun kita terus berunding dengan baik untuk cari keputusan,” katanya selepas menghadiri Program Temu Mesra MADANI Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, hari ini.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 3,000 jemaah tabligh di masjid berkenaan. Kehadiran beliau pada jam 1.10 tengah hari dengan berpakaian baju Melayu biru cair dan bersongkok disambut pengurusan masjid serta jemaah yang hadir lebih awal.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Solat Jumaat tersebut diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil yang menyampaikan khutbah bertajuk Rasulullah Suri Tauladan: Kunci Kebangkitan Insan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








