Bomba gerakkan anggota bantu pendaki cedera terpisah dari kumpulan
GUA MUSANG – Pasukan Bomba Gua Musang menggerakkan empat anggotanya bagi membantu seorang pendaki yang cedera dan terpisah daripada kumpulannya di kawasan hutan berhampiran Kem Tudung Periuk, dekat Gunung Yong Belar, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, mangsa, Muhammad Asrul Quyyum Asmmuddin, 23, dipercayai tergelincir dari laluan pendakian sebelum terjatuh ke kawasan curam, namun tidak mengalami kecederaan serius dan masih mampu berjalan, lapor portal Kosmo.
“Operasi membabitkan empat anggota dan pegawai balai bomba Gua Musang digerakkan ke lokasi kira-kira pukul 6.30 pagi tadi. Jarak ke lokasi kejadian dianggarkan lebih 90 kilometer dan keadaan cuaca ketika ini masih hujan renyai-renyai.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam selepas menerima laporan mangsa terpisah daripada kumpulannya ketika melakukan pendakian di kawasan berkenaan,” katanya, hari ini.
Muhammad Azrul memberitahu, mangsa sebelum itu berjaya dihubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kelantan dan turut menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp, namun liputan telefon di kawasan berkenaan tidak stabil.
Menurutnya, mangsa dilaporkan mempunyai lampu suluh, wisel dan baki bateri telefon pintar sekitar 75 peratus sebelum diarahkan kekal di lokasi sementara menunggu pasukan SAR tiba.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








