Wanita lemas ketika aktiviti ‘white water rafting’ di KKB
HULU SELANGOR – Seorang wanita berusia 34 tahun lemas selepas bot pelampung yang dinaiki semasa aktiviti rakit arus deras (white water rafting) terbalik di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 3.52 petang.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, bot ‘rafting’ dinaiki mangsa bersama lima individu lain terbalik dan kesemua mereka terjatuh di jeram pertama kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mangsa didapati tersangkut di dasar air sebelum rakannya cuba mengeluarkannya daripada halangan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba kemudian membawa mangsa ke lokasi selamat sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat dan mencari mangsa ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.30 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








