LUAR NEGARA

Dua penerjun udara maut payung terjun bertembung

LOS ANGELES – Dua penerjun payung maut selepas bertembung dan terbelit di udara ketika sedang melakukan aktiviti ekstrim itu di Lake Elsinore, California Selatan, Amerika Syarikat, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menghampiri kawasan pendaratan pada ketinggian kira-kira 46 meter dari permukaan tanah.

Menurut syarikat pengendali aktiviti berkenaan, Skydive Elsinore, kedua-dua penerjun terbabit bertembung di udara sehingga menyebabkan payung terjun mereka terbelit sebelum terhempas ke tanah.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Mangsa dikenal pasti sebagai Georgia Jean, 56, dari South Dakota dan Levi Pimentel, 29, dari Illinois.

Kedua-duanya merupakan penerjun berlesen dan berpengalaman.

Menurut syarikat itu, fasa penerjunan bebas serta pembukaan payung terjun pada awalnya berjalan lancar sebelum insiden berlaku ketika mereka bersedia untuk mendarat.

Kedua-dua mangsa merupakan antara 20 penerjun berpengalaman yang menyertai acara terjun udara berkenaan selepas melompat dari pesawat pada ketinggian kira-kira 3,810 meter.

Pihak berkuasa memaklumkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan akan mengumpulkan peralatan payung terjun mangsa bagi membantu siasatan.

Syarikat pengendali turut memaklumkan setakat ini tiada petunjuk awal menunjukkan kejadian berpunca daripada kegagalan peralatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button