LUAR NEGARA

Jet pejuang F-35B terhempas di California, juruterbang selamat

SAN DIEGO – Seorang juruterbang Kor Marin Amerika Syarikat (AS) terselamat selepas sempat melenting keluar menggunakan kerusi anjal sebelum pesawat pejuang F-35B yang dipandu terhempas di Pangkalan Udara Kor Marin Miramar, California.

Kejadian berlaku semalam ketika pesawat berkenaan menjalani penerbangan latihan berhampiran pangkalan udara itu.

Menurut Kor Marin AS, juruterbang yang merupakan satu-satunya individu di dalam pesawat berjaya keluar sebelum pesawat itu terhempas dan terbakar berhampiran kawasan landasan.

Mangsa kemudian dihantar ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran kecil yang tercetus akibat nahas berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan orang awam atau anggota pangkalan.

“Kor Marin AS mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kemalangan Kelas A (Class A mishap), iaitu kategori paling serius dalam sistem pengelasan kemalangan ketenteraan yang biasanya melibatkan kehilangan pesawat atau kerugian besar,” lapor AP.

Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala pegawai tentera sedang menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap pesawat dan kawasan nahas bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan itu.

F-35B Lightning II merupakan varian pesawat tempur siluman F-35 yang mempunyai keupayaan berlepas jarak pendek dan mendarat secara menegak (STOVL).

Pesawat keluaran Lockheed Martin itu merupakan antara aset tempur paling canggih dalam inventori Kor Marin AS dan direka untuk menjalankan misi serangan darat, pertahanan udara serta operasi sokongan taktikal dengan anggaran kos RM460 juta sebuah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button