
Korban krisis migran Ceuta meningkat kepada 57 orang
MADRID – Angka kematian dalam krisis kemasukan besar-besaran migran dari Maghribi ke wilayah autonomi Sepanyol, Ceuta, meningkat kepada 57 orang, ketika pihak berkuasa terus berusaha mengawal situasi yang disifatkan antara paling buruk pernah melanda sempadan negara itu.
Menurut pihak berkuasa Sepanyol, mangsa dipercayai maut akibat lemas ketika cuba berenang merentasi sempadan laut, manakala sebahagian lagi terkorban akibat dipijak dalam rempuhan berhampiran benteng sempadan.
Krisis itu tercetus apabila lebih 50,000 migran menyeberangi sempadan dari Maghribi ke Ceuta melalui laut dan darat dalam tempoh kira-kira 24 jam, sekali gus mencetuskan tekanan luar biasa terhadap wilayah yang hanya mempunyai kira-kira 85,000 penduduk itu.
Bagaimanapun, kerajaan Sepanyol memaklumkan lebih 48,000 migran telah pulang secara sukarela ke Maghribi selepas kawalan sempadan diperketatkan dengan bantuan pasukan tentera dan polis.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez menyifatkan kemasukan beramai-ramai itu sebagai pencabulan terhadap kedaulatan negara dan menegaskan kerajaan akan mengambil semua langkah perlu bagi memulihkan keadaan di Ceuta.
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan migran memasuki Ceuta dengan berenang mengelilingi benteng pemecah ombak di Pantai Tarajal atau memanjat pagar sempadan.
Sepanyol menyalahkan sindiket penyeludupan manusia kerana didakwa mengambil kesempatan terhadap kekeliruan berhubung keputusan Mahkamah Agung negara itu mengenai layanan terhadap migran yang tiba melalui laluan laut.
Ceuta merupakan wilayah autonomi Sepanyol yang terletak di pantai utara Afrika dan berkongsi sempadan darat dengan Maghribi.
Kedudukannya menjadikan wilayah itu antara pintu masuk utama migran yang cuba memasuki Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















