BERITA SEMASASUKAN

Merino muncul wira bantu Sepanyol singkir Belgium 2-1

LOS ANGELES – Jaringan lewat pemain gantian, Mikel Merino membawa Sepanyol melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir yang sengit di Stadium Los Angeles, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Luis de la Fuente itu terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-30 menerusi Fabián Ruiz yang bijak memanfaatkan peluang di depan gawang selepas menguasai sebahagian besar permainan.

Belgium bagaimanapun enggan mengalah apabila Charles De Ketelaere menghidupkan semula harapan pasukannya menerusi tandukan kemas hasil hantaran Timothy Castagne pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun penyudah yang tumpul menyebabkan keputusan kekal seimbang sehingga penghujung perlawanan.

Ketika aksi dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Merino muncul wira La Roja apabila menjaringkan gol pada minit ke-88 melalui rembatan rendah. Gol itu memastikan Sepanyol mengesahkan tiket ke kelompok empat terbaik.

Belgium yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Thibaut Courtois, Amadou Onana dan kapten, Youri Tielemans akibat kecederaan tetap memberikan tentangan sengit, namun terpaksa akur dengan jaringan dramatik Merino.

Kemenangan itu membawa Sepanyol ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua sejak muncul juara pada edisi 2010. Mereka dijadual bertemu Perancis bagi merebut tempat ke pentas final.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button