BERITA SEMASA

Isu tular ritual keagamaan, siasatan diserahkan kepada pihak berkuasa agama

PUTRAJAYA – Siasatan berhubung isu seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam diserahkan kepada pihak berkuasa agama, termasuk pihak berkuasa agama negeri untuk tindakan lanjut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.

Beliau berkata, pihak berkenaan akan memaklumkan perkembangan siasatan setelah mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara itu.

“Sekarang ini, kami menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa agama dan insya Allah pihak berkuasa ini akan memaklumkan perkembangan (siasatan) itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Zulkifli, sebelum disusuli syarahan muqaddimah kitab tafsir surah Yusuf karya Imam al-Ghazali oleh ulama serta sarjana Islam dari Turkiye, Syeikh Prof Dr Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani.

Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut meneruskan usaha pemantauan serta meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu berkenaan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya telah menyelaras tindakan sewajarnya membabitkan pihak berkuasa agama Islam negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengikut bidang kuasa dan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button