Belanjawan 2027: Jualan RAHMAH, Agro MADANI terima peruntukan RM750 juta
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi pelaksanaan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI tahun depan, meningkat daripada RM630 juta sebelum ini, dengan sasaran 35,000 penganjuran bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 program Jualan RAHMAH akan dilaksanakan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 5,000 lagi membabitkan Jualan Agro MADANI.
Beliau berkata, program Jualan RAHMAH akan memberi tumpuan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bandar, selain diperluas menerusi kedai runcit biasa dan mesin layan diri.
“Jualan RAHMAH MADANI Borong turut dianjurkan bagi membantu peniaga kecil. Bagi Jualan Agro MADANI, hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan akan ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca juga : Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, lebih empat juta pekerja terima manfaat – PM
Dalam usaha memperluas bantuan kepada rakyat, Anwar berkata, kerajaan turut membenarkan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
“Ketika ini, terdapat 15,000 premis rakan niaga SARA, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi. Kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang menyertai program itu meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini.,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman, termasuk enam lokasi baharu antaranya Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam, Pusa, Sarawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment