Belanjawan 2027: Pendapatan pemandu e-hailing naik RM227 – PM
KUALA LUMPUR – Pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing bertambah sehingga RM100 sebulan menerusi pakej bernilai RM160 juta yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab mulai tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini berkata, pakej itu bertujuan meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing serta p-hailing.
Beliau berkata, kira-kira 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan p-hailing, justeru kerajaan MADANI komited menyediakan perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan berkenaan.
“Pakej itu merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan serta insurans, selain caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Baca juga : Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, lebih empat juta pekerja terima manfaat – PM
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing. Kadar itu akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja.
Selain pekerja gig, beliau berkata, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 70 peratus kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor yang tidak diwajibkan mencarum.
“Pelepasan cukai PERKESO juga diperluas meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri, manakala pelepasan tambahan sehingga RM150 diberikan bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri,” katanya.
Bagi menggalakkan simpanan persaraan dalam kalangan pemandu e-hailing dan p-hailing, Anwar berkata, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau RM6,000 sepanjang hayat.
“Selain itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta untuk pekerja gig yang mahu memulakan perniagaan serta membeli rumah pertama.
“Kerajaan juga akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya.
Anwar berkata, Majlis Perundingan Gig sedang mengadakan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial pekerja gig, yang dijangka dimuktamadkan pada awal 2027.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil langkah memperkukuh perlindungan sosial melalui pendaftaran automatik setiap warganegara sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun bagi membolehkan simpanan persaraan dimulakan lebih awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








