Malaysia setuju secara prinsip sedia kemudahan kewangan US$100 juta kepada Maldives – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi mendapatkan kemudahan kewangan berjumlah AS$100 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Maldives Monetary Authority (MMA) akan segera memperincikan mekanisme serta proses pelaksanaan kemudahan berkenaan.
Beliau berkata, persetujuan itu antara hasil utama lawatan rasmi beliau ke Republik Maldives yang turut menyaksikan beberapa kesepakatan lain dicapai dalam usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama kedua-dua negara.
“Malaysia turut bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan kewangan berjumlah US$100 juta. Bank Negara Malaysia dan Maldives Monetary Authority akan segera memperincikan mekanisme serta proses pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, Malaysia dan Maldives turut bersetuju mempercepat mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives yang akan dihoskan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini.
Katanya, mekanisme itu penting bagi menyelesaikan perkara berbangkit selain menetapkan tindakan konkrit untuk memperluas kerjasama kedua-dua negara.
“Saya juga akan berbincang dengan PETRONAS mengenai cadangan meneroka potensi kerjasama tenaga di Maldives. Pada masa sama, dua memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam telah dipertukarkan dalam rangka lawatan ini,” katanya.
Dari segi aspek pendidikan, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti beberapa kekangan birokrasi yang dihadapi pelajar Maldives dan keluarga mereka, selain meneroka kerjasama dalam bidang kesihatan mental serta kebajikan golongan kurang upaya.
Malaysia dan Maldives turut senada dalam mendesak pelaksanaan berkesan komitmen antarabangsa bagi menangani perubahan iklim, termasuk penyaluran pembiayaan yang telah dijanjikan.
“Kami juga kekal teguh memperjuangkan kebebasan dan keadilan buat rakyat Palestin serta menolak penjajahan dan kezaliman di Gaza,” katanya.
Anwar berkata, lawatan itu membuktikan bahawa Malaysia dan Maldives, meski relatif kecil, mampu berdiri dengan suara yang tegas dan jiwa yang berani dalam mempertahankan kebenaran, menjunjung tadbir urus yang baik serta menolak keangkuhan kuasa yang menindas negara dan rakyat lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Dr Mohamed Muizzu, Kerajaan Maldives dan seluruh rakyatnya atas layanan mesra, persahabatan sejati serta kepercayaan yang diberikan.
“Terima kasih juga kepada seluruh delegasi Malaysia, petugas kedutaan serta semua pihak yang menjayakan lawatan ini.
“Saya berlepas pulang ke tanah air dengan penuh pengharapan untuk menterjemahkan segala kesepakatan yang dicapai dalam bentuk tindakan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








