Bantuan empat negara perkukuh keupayaan pertahanan Malaysia – Khaled Nordin
TELOK MAS – Kerjasama pertahanan dengan empat negara sahabat iaitu Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman terus dimanfaatkan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan ketenteraan serta memperkukuh keselamatan maritim negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan yang disalurkan negara berkenaan bukan sekadar memperkukuh kemampuan Malaysia mempertahankan kedaulatan negara, malah membolehkan Malaysia memainkan peranan dalam menjamin keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara serta Asia Pasifik.
Beliau berkata, antara aspek yang diberi perhatian ialah keupayaan pemantauan kawasan maritim, termasuk meningkatkan kesedaran domain maritim dan kehadiran aset keselamatan di kawasan perairan.
“Jepun misalnya, kita menjelaskan bahawa berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), terdapat dua syarat untuk menentukan hak sesebuah negara terhadap kawasan maritim.
“Pertama, kesedaran domain maritim, iaitu mengetahui apa yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Kedua, kehadiran di kawasan itu menerusi operasi rondaan sama ada secara bersendirian atau bersama tentera laut, tentera udara atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penyerahan projek Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan (MINDEF) di sini, hari ini.
Baca juga : Khaled ingatkan calon, penyokong elak fitnah sepanjang kempen PRN Melaka
Mohamed Khaled berkata, Malaysia masih berdepan jurang dari segi keupayaan maritim dan bantuan Jepun antara lain bertujuan meningkatkan kemampuan negara memantau kawasan perairannya.
Sebelum ini, sistem antidron yang bakal diterima daripada Jepun dilaporkan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Sepanggar dan Labuan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jerman turut menyalurkan bantuan berjumlah lima juta euro (kira-kira RM22.83 juta) bagi pembangunan pusat latihan tempur Tentera Darat di Kem Pulada, Johor.
Katanya, Amerika Syarikat merupakan antara negara yang menyalurkan bantuan pertahanan terbesar kepada Malaysia tahun ini, diikuti Australia dan Jepun.
“Kerjasama ini penting untuk membangunkan keupayaan pertahanan negara supaya kita mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Sebab itu, diplomasi pertahanan menjadi antara elemen penting dalam hubungan Malaysia dengan negara lain,” katanya.
Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini melakar sejarah baharu apabila pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan tiba di Pangkalan Udara Labuan, baru-baru ini.
Pesawat berkenaan dirancang ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan sebahagiannya di Labuan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mohamed Khaled yang menyaksikan majlis penghantaran pesawat itu sebelum ini berkata, perolehan bernilai hampir RM4 bilion berkenaan membabitkan kumpulan pertama daripada keseluruhan 18 pesawat FA-50M yang diperoleh Malaysia daripada Korea Aerospace Industries (KAI).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment