LUAR NEGARA

Rakaman audio kokpit dedah detik cemas sebelum jet peribadi terhempas di Florida

FLORIDA – Detik-detik cemas sebelum sebuah jet peribadi jenis Learjet 60 terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach County, Amerika Syarikat pada Ahad didedahkan menerusi rakaman audio kokpit yang baru dikeluarkan.

Pesawat yang membawa sembilan individu itu dilaporkan menjunam ketika berdepan keadaan cuaca buruk sebelum terhempas berhampiran West Palm Beach, kira-kira 13 kilometer dari kediaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Mar-a-Lago.

Kesan impak menyebabkan kebakaran besar tercetus di lokasi nahas.

Menurut rakaman komunikasi kawalan trafik udara yang dilaporkan New York Post, kru pesawat berulang kali memaklumkan keadaan kecemasan ketika pesawat kehilangan kawalan dan menjunam dengan pantas.

“Kami sedang menurun pada ketinggian 8,000 kaki. Mayday, mayday. Menurun pada kadar 10,000 kaki seminit,” menurut rakaman itu.

Kru kemudian mengisytiharkan kecemasan dan memaklumkan pesawat berada dalam keadaan kelajuan berlebihan sebelum melaporkan kadar penurunan semakin meningkat sehingga 20,000 kaki seminit.

Pengawal trafik udara membalas bahawa kru boleh mengambil tindakan sewajarnya sambil meminta mereka memaklumkan bantuan yang diperlukan.

Tangkap layar letupan pesawat Learjet 60 yang terhempas di Palm Beach County, Florida.

Namun, keadaan dilaporkan semakin kritikal apabila kru berkata: “Kami akan terhempas ke tanah.”

Seorang lagi individu dalam komunikasi itu cuba menenangkan kru dengan berkata: “Saya di sini bersama anda, bercakaplah dengan saya.”

BACA JUGA:
Sembilan maut pesawat peribadi terhempas di Florida

Rakaman berkenaan kemudian memaparkan laporan pesawat menjunam pada kadar 22,000 kaki seminit sambil membelok pada sudut 60 darjah.

“Lihat ke luar! Lihat ke luar!” kata suara dalam rakaman itu sebelum satu lagi ungkapan kedengaran: “Kita sudah kesuntukan masa.”

Rakaman itu menggambarkan detik-detik genting ketika kru berdepan kesukaran mengawal pesawat sebelum nahas berlaku.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan faktor yang menyebabkan pesawat menjunam masih perlu ditentukan menerusi siasatan pihak berkuasa penerbangan.

Individu yang berada di dalam jet itu juga masih belum dikenal pasti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button