LUAR NEGARA

Jet pejuang RAF terhempas, dua juruterbang sempat selamatkan diri

ANGLESEY (Wales) – Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Britain (RAF) jenis Hawk T2 terhempas dan meletup ketika melakukan penerbangan latihan di Anglesey, utara Wales, semalam.

Kedua-dua juruterbang dilaporkan selamat dengan kecederaan ringan selepas berjaya melenting keluar menggunakan kerusi keselamatan.

Kejadian berlaku selepas pesawat itu berlepas dari pangkalan RAF Valley di bahagian barat pulau berkenaan sebelum dipercayai mengalami masalah ketika berada di udara.

Rakaman video menunjukkan pesawat terbabit mendaki dalam keadaan tidak stabil sebelum kedua-dua juruterbang melenting keluar.

Pesawat kemudian menjunam ke arah tanah dalam keadaan mengeluarkan asap sebelum terhempas berhampiran beberapa rumah dan bangunan pertanian, menyebabkan bola api besar menjulang ke udara.

raf hawk
Pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) jenis Hawk T2. Foto : Wikipedia

Jurucakap RAF mengesahkan kejadian membabitkan sebuah pesawat Hawk T2 yang berlepas dari RAF Valley berlaku berhampiran Anglesey, selain memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan tiada ulasan lanjut diberikan buat masa ini.

Lokasi nahas di Pencarnisiog terletak kurang tiga kilometer dari pangkalan RAF Valley yang menempatkan Sekolah Latihan Penerbangan No 4.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat North Wales berkata, pasukan mereka bersama RAF, polis North Wales, perkhidmatan ambulans Wales dan ambulans udara Wales dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Orang awam turut diminta menjauhi kawasan berkenaan sementara pasukan kecemasan meneruskan operasi.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button