BERITA SEMASA

Kementerian Pengangkutan arahkan siasatan terhadap semua pesawat Beechcraft Model 390

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diminta untuk menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan CAAM untuk memastikan siasatan terperinci dilakukan terhadap semua pesawat jenis itu bagi tujuan penilaian keselamatan.

“Saya akan minta CAAM untuk buat siasatan terhadap model tersebut dan apa sahaja keputusan perlulah kita buat secara teliti selepas siasatan oleh pihak teknikal dan pihak berkuasa.

“Pada ketika ini belum ada apa-apa keputusan terburu-buru diambil, jadi pihak CAAM sudah tentu akan buat siasatan terperinci terhadap semua model yang sedang digunakan di Malaysia berkenaan dengan pesawat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Anthony berkata, siasatan segera juga akan dilakukan terhadap alat perakam suara kokpit yang ditemukan untuk mendapatkan maklumat mengenai nahas itu.

Beliau berkata, rakaman suara kokpit yang ditemukan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada pukul 10.20 malam tadi telah dihantar untuk dianalisa, awal pagi tadi.

“Saya telah mengarahkan siasatan segera dan terperinci dilaksanakan terhadap perakam suara itu.

“Kita akan memberi maklum balas kepada orang ramai secepat mungkin selepas analisa ini dapat dipastikan,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, punca nahas akan dimaklumkan secepat mungkin secara telus selepas analisa BSKU selesai dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button