Bagasi mencurigakan cetus cemas di ICQS Bukit Kayu Hitam
BUKIT KAYU HITAM – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini ditutup kira-kira dua jam selepas sebuah bagasi mencurigakan ditemui di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B, semalam.
Bagasi berwarna merah jambu itu ditemui pada pukul 5.55 petang sebelum dibawa ke mesin pengimbas untuk pemeriksaan selepas tiada individu tampil menuntutnya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, hasil imbasan pihak Kastam mendapati imej di dalam bagasi berkenaan mengandungi bahan yang disyaki dadah dan bahan letupan.
Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira pukul 8.45 malam.
“Anggota UPB melakukan proses meneutralkan bagasi itu selepas menilai risiko di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa,” katanya menurut laporan Buletin TV3.
Mohd Radzi berkata, kompleks berkenaan ditutup antara pukul 9.30 hingga 11.30 malam bagi membolehkan proses meneutralkan bagasi dilakukan.
Menurutnya, bagasi itu berjaya dibuka kira-kira pukul 11 malam dan pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan di dalamnya.
“Pemeriksaan turut menemukan pakaian, minyak dalam bekas, pengering rambut berwarna hitam, syampu dan losyen,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







