Status kerusi Parlimen Subang: Fahmi minta tunggu pengumuman Yang Dipertua Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta menunggu pengumuman Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung status kerusi Parlimen Subang yang disandang Wong Chen, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang keputusan berhubung hasrat Wong Chen untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkenaan.
“Saya tiada maklumat apa apa keputusan tunggu pengumuman Speaker YDP Dewan Rakyat apa-apa kerusi perlu tunggu,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Johari sebelum ini mengesahkan Wong Chen ada menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang ketika pertemuan mereka kelmarin.
Bagaimanapun, Johari tidak menyatakan sama ada Wong Chen sudah menyerahkan sebarang surat berkaitan peletakan jawatan itu, seperti yang tular di media sosial, atau sebab di sebalik hasrat Ahli Parlimen Subang berkenaan.
Desas-desus mengenai peletakan jawatan Wong Chen sebelum ini tercetus selepas beliau memuat naik kepala surat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut dinyatakan, sebaliknya Wong Chen yang sudah tiga penggal mempertahankan kerusi Parlimen Subang memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media pada Isnin ini berhubung surat dan pertemuannya dengan Johari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








