BERITA SEMASA

Tuanku Muhriz batalkan pelantikan EXCO negeri berkuat kuasa serta merta

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa serta-merta

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Besar Seri Menanti, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan keputusan itu dibuat selepas semua anggota EXCO berkenaan melanggar sumpah jawatan mereka.

Menurut kenyataan itu, anggota berkenaan telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar pada 7 Ogos, sebelum pelantikan mereka ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Di bawah Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang anggota EXCO, selain Menteri Besar, memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Pihak istana berkata, anggota EXCO berkenaan telah berikrar untuk taat setia kepada Raja dan Institusi Diraja, berjanji untuk melindungi serta memelihara kedaulatan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, selain mengakui kuasa yang diberikan kepada Dewan Keadilan dan Undang.

“Bagaimanapun, mereka telah melanggar sumpah tersebut melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September,” kata kenyataan itu, malam tadi.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta, dengan setiap anggota yang terjejas dimaklumkan secara individu melalui surat.

Berikutan keputusan itu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dikehendaki mengemukakan senarai calon anggota baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Yang di-Pertuan Besar turut mengharapkan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan tanpa gangguan dan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pihak istana menegaskan bahawa kepentingan rakyat mesti terus dilindungi sepanjang tempoh peralihan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button