POLITIK

UMNO Negeri Sembilan rela jadi pembangkang – Jalaluddin

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan lebih rela menjadi pembangkang daripada duduk di dalam kerajaan negeri dan melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, krisis di negeri berkenaan timbul setelah UMNO negeri hilang keyakinan terhadap Aminuddin kerana gagal mengurus krisis adat dan perlembagaan dengan tertib.

“Prinsip UMNO cukup jelas. UMNO hormat dan cukup memahami garis pemisah di antara badan eksekutif dan juga institusi adat.

“Sebab itu UMNO (berasa) marah apabila Menteri Besar mencampuri urusan adat, gagal menangani krisis dengan baik dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga menyebabkan pemecatan Yamtuan Besar berlaku,” kata Jalaluddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, ketika kerjasama diantara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mahu dibentuk, UMNO/BN telah mengemukakan 10 perkara sebagai asas dalam perjanjian tersebut.

“Daripada 10 perkara tersebut, dua perkara menjadi asas kepada tindakan UMNO Negeri Sembilan, dan dua perkara ini yang ingin saya jelaskan.

“Perkara Kedua iaitu Kedaulatan Perlembagaan bermaksud menjunjung peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Islam sebagai agama Persekutuan.

“(Ini diikuti) dengan Perkara Ketiga iaitu Hak Bumiputera dan Raja-Raja yang bermaksud memelihara hak keistimewaan Melayu/Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Perjanjian berkenaan adalah ibarat ‘Garis Merah’ yang ditetapkan oleh kedua-dua parti dan jika mana-mana pihak melanggar garis merah tersebut, ianya dilihat mencabar perjanjian ini,” kata Jalaluddin lagi.

Mengenai tuduhan mahu ‘menebuk atap’ bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, Jalaluddin berkata peluang berkenaan sebenarnya telah wujud setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) tamat, namun UMNO lebih memilih untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button