
PRK Sungai Bakap: Gelombang hijau sudah mendatar, semakin menurun – penganalisis politik
PUTRAJAYA – Golongan muda, pengundi teras UMNO dan pengundi etnik Cina akan menjadi faktor penting dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap kali ini.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, terdapat perbezaan ketara PRK itu berbanding pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) 2023 dari segi corak kempen dan tingkah laku pengundi.
“Pertama, gelombang hijau telah mencapai puncak pada PRN lepas, sekarang sudah mendatar dan semakin menurun.
“Anak-anak muda yang dahulu ghairah mempamerkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), sekarang sudah tidak sekuat itu.
“Bahkan sebahagian mereka mula tidak segan silu untuk bergaya dengan baju Parti Perpaduan, berbual di sana sini, situasi yang tidak menonjol dalam PRN lepas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Katanya, pengundi teras UMNO yang kalih sokongan kepada PN pada PRN lepas juga semakin tidak menunjukkan minat menyokong kepada parti itu.
Sementara itu, pengundi etnik Cina yang sebelum ini teguh menyokong Pakatan Harapan (PH) pula mula menunjukkan tingkah laku tidak selesa terhadap kerajaan.
“Mereka kritis terhadap beberapa polisi Kerajaan Perpaduan dan PH itu sendiri, sebahagiannya menyuarakan ura-ura untuk tidak keluar mengundi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kempen PRK Sungai Bakap yang disambut meriah itu mengekalkan etika persaingan yang sihat dan damai antara parti politik yang terbabit.
“Tidak ada ceramah-ceramah kontroversi melanyak individu, tidak ketara sangat kempen memanipulasi secara melampau sentimen etnik-agama.
“Inilah sebahagian model politik yang kita impikan, politik adalah instrumen untuk bina negara. Bukan politik kebencian, permusuhan dan manipulasi sentimen demi untuk mendapat sokongan segera,” ujarnya.
Beliau menyifatkan persaingan dalam PRK tersebut sengit di mana setiap satu undian memainkan peranan signifikan dalam menentukan pemenang PRK tersebut.
“PRK Sungai Bakap ini lebih kepada siapa yang akan hilang lebih banyak undi. Siapa yang hilang lebih sikit undi akan keluar sebagai pemenang,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








