BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pemuda UMNO tawar peguam percuma kepada remaja ditampar di Pasar Seni

KUALA LUMPUR – Barisan Peguam Pemuda UMNO menawarkan khidmat peguam secara percuma kepada keluarga remaja yang ditampar seorang lelaki di kawasan Pasar Seni, baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu diambil bagi memberikan sokongan undang-undang sekiranya keluarga mangsa berhasrat mengambil tindakan terhadap perbuatan tidak wajar terbabit.

“Abang kepada adik yang ditampar itu telah membuat kenyataan bahawa individu yang menampar adiknya sudah meminta maaf. Saya menghormati keputusan ahli keluarga yang ingin memaafkan mamat tersebut.

“Bagaimanapun, jika mereka ingin mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan yang sangat bangsat dilakukan ke atas adiknya, barisan peguam Pemuda UMNO sedia membantu secara percuma,” katanya dalam kenyataan.

Dr Akmal menegaskan, perbuatan menampar kanak-kanak adalah tindakan seorang yang pengecut dan perlu diberikan pengajaran yang setimpal.

Beliau berkata, pengajaran itu bukan sahaja kepada individu terbabit, malah kepada orang lain bahawa kanak-kanak perlu dilindungi, bukan disakiti.

“Jika keluarga adik tersebut ingin mendapatkan bantuan peguam, mereka boleh menghubungi saya terus,” tambahnya.

Terdahulu, abang kepada remaja berusia 12 tahun itu memohon bantuan orang ramai untuk mengenal pasti individu yang menampar adiknya di Pasar Seni semalam.

Menurut hantaran di media sosial oleh pengguna dikenali sebagai rx_hid, lelaki berkenaan didakwa menampar remaja tersebut menggunakan belakang tangan tanpa sebarang provokasi, kira-kira pukul 1:35 petang di premis Rotiboy Pasar Seni.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial turut menunjukkan detik kejadian berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button