BERITA SEMASA

111 pesalah kes buang puntung rokok diarah jalani perintah khidmat masyarakat

PUTRAJAYA – Seramai 113 pesalah diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) secara serentak di 17 lokasi menerusi pelaksanaan PKM Siri Ke-50 oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurut SWCorp, lebih 98 peratus daripada kes yang direkodkan membabitkan kesalahan membuang puntung rokok, dengan 111 pesalah dikenakan tindakan atas kesalahan berkenaan, manakala masing-masing seorang bagi kesalahan membuang bekas minuman dan tin minuman.

Pelaksanaan kali ini membabitkan 29 pesalah di Johor, 22 di Putrajaya, 19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 15 di Pahang, 10 di Kedah, masing-masing tujuh di Negeri Sembilan dan Melaka serta empat di Perlis.

“Daripada keseluruhan 113 pesalah itu, 84 merupakan warganegara Malaysia manakala 29 lagi bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

khidmat masyarakat
Pesalah melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dengan membersihkan kawasan awam di Dataran Wawasan, Putrajaya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Menurut SWCorp lagi, PKM dilaksanakan di lokasi tumpuan awam merangkumi kawasan rekreasi, dataran awam, pusat bandar serta persekitaran kemudahan komuniti

Katanya, pelaksanaan PKM Siri Ke-50 menjadi satu lagi penanda aras penting dalam kesinambungan mekanisme penguatkuasaan berkenaan yang bukan sahaja mengenakan hukuman, malah memberi pengalaman secara langsung kepada pesalah mengenai kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan ruang awam.

“Statistik berkenaan menunjukkan perbuatan membuang puntung rokok secara sembarangan masih menjadi kesalahan paling dominan dan tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil,” katanya sambil menambah puntung rokok tetap merupakan sampah dan hendaklah dibuang di tempat yang sepatutnya.

Sebagai rekod, sehingga 13 September 2026, sebanyak 16,037 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, 2,525 kes telah memperoleh izin pendakwaan, 1,264 kes melalui proses sebutan di mahkamah dan 741 kes telah selesai diputuskan oleh mahkamah, termasuk pengenaan hukuman denda serta PKM.

Bagi pelaksanaan PKM pula, seramai 486 pesalah telah selesai menjalani hukuman, manakala 167 pesalah sedang menyempurnakan baki jam PKM sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.

khidmat masyarakat
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh berkata, pelaksanaan Siri Ke-50 mencerminkan komitmen berterusan SWCorp dalam memastikan kesalahan membuang sampah kecil tidak dipandang ringan.

“Pelaksanaan PKM memberi peluang kepada pesalah merasai sendiri tanggungjawab membersihkan ruang awam akibat perbuatan yang dilakukan. Pendekatan ini bukan sekadar menghukum, tetapi mendidik dan membentuk kesedaran supaya kesalahan sama tidak berulang.

“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan konsisten tanpa mengira kewarganegaraan. Setiap individu yang berada di negara ini tertakluk kepada undang-undang dan bertanggungjawab memelihara kebersihan ruang awam,” katanya.

Di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan NPK.

Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan, diperintahkan menjalani PKM sehingga 12 jam di bawah Seksyen 77B Akta yang sama, tertakluk kepada pertimbangan mahkamah.

@malaysiatribune

Seramai 22 pesalah melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Dataran Wawasan, Putrajaya, sebagai hukuman atas kesalahan membuang sampah di tempat awam. Antara tugasan yang dilakukan termasuk membersihkan kawasan sekitar dengan menyapu serta mengutip sampah di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa. Pesalah terdiri daripada 18 orang warganegara Malaysia dan 4 orang warga asing. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Mengulas lanjut, Syahrul berkata, SWCorp akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan khususnya di lokasi tumpuan awam dan kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot pembuangan sampah kecil, termasuk ketika berlangsungnya program, sambutan serta aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai.

“Bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2026, SWCorp menyeru seluruh masyarakat supaya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Jangan buang sampah kecil merata-rata. Malaysia yang bersih bermula daripada sikap dan tindakan kita sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button