BERITA SEMASA

Kenduri Rakyat Syed Saddiq, Bella Astillah di Sabah meriah dengan kehadiran 20,000 pengunjung

KOTA KINABALU – Lebih 20,000 pengunjung membanjiri Padang Merdeka hari ini bagi memeriahkan Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama isteri tercinta, penyanyi Bella Astillah.

Pasangan yang popular dengan gelaran BASS itu tiba kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan mengenakan busana tradisional etnik Kadayan berwarna hitam dan merah.

Ketibaan mereka disambut meriah oleh ribuan pengunjung serta peminat yang difahamkan sanggup beratur seawal pukul 5 pagi bagi menyaksikan sendiri kemunculan pasangan pengantin berkenaan.

Dalam ucapannya, Syed Saddiq menyifatkan Gunung Kinabalu dan lautan Semporna sebagai saksi bermulanya kisah cinta mereka yang akhirnya menyatukan anak kelahiran Johor dan Sabah itu sebagai suami isteri.

“Tempat tertinggi di Gunung Kinabalu sampai ke lautan yang luas di Semporna, ia mengunci kisah cinta kami. Anak Johor dan anak Sabah akhirnya disatukan di atas pelamin.

“Permulaannya bukan setakat di Merdeka 118, tetapi pengakhirannya juga begitu romantis kerana tempat terakhir meraikan kisah kami adalah bersama anak-anak Sabah pada hari ini.

“Saya selepas ini kena lebih kerap dan rajin turun ke Sabah kerana isteri orang Sabah, keluarganya dari Sabah. Ramai dari Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Insya-Allah, saya tidak sabar untuk selalu berada di sisi isteri dan mengenali kalian dengan lebih erat,” katanya.

Selesai menyampaikan ucapan, pasangan itu meneruskan acara dengan upacara memotong kek dan pulut kuning sebelum Bella menghadiahkan persembahan istimewa menerusi lagu berjudul Bersama Aku Setia Selamanya khas buat suami tercinta.

Lebih menceriakan suasana, Bella turut menjemput anak sulungnya, Ayden Adrean untuk menyanyi bersama di atas pentas.

Lagu hasil ciptaan Hael Husaini dan Aziem Rashidi itu dihasilkan khas sempena hari bahagia pasangan berkenaan yang selamat diijabkabulkan pada 10 Oktober lalu.

Tidak hanya itu, Syed Saddiq bersama Ayden turut mencuba tarian tradisional Magunatip sebelum turun dari pentas utama untuk beramah mesra dan mendekati para pengunjung.

Terdahulu, meskipun kaunter pendaftaran untuk orang awam hanya mula dibuka pada pukul 9 pagi, terdapat pengunjung yang dilaporkan sudah beratur seawal pukul 5 pagi bagi mendapatkan peluang menghadiri majlis berkenaan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai gerai makanan turut disediakan secara percuma untuk pengunjung sementara menantikan ketibaan pasangan pengantin yang diraikan di pelamin utama.

Terdahulu, pasangan popular itu mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 18 Oktober lalu.

Sambutan kemudian diteruskan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum kemeriahan majlis dibawa ke Sabah hari ini, 31 Oktober.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button