‘Ibu, ayah dah beri isyarat teruskan perkahwinan’ – Syed Saddiq hargai Bella
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan perancangan perkahwinannya dengan tunang, pelakon dan penyanyi Bella Astillah bakal diteruskan selepas menerima isyarat positif daripada kedua-dua ibu bapanya sejurus keputusan rayuan akhirnya memihak kepadanya hari ini.
Syed Saddiq, 33, berkata, ibu dan bapanya menyatakan persetujuan agar mereka meneruskan perancangan untuk mendirikan rumah tangga selepas beliau selesai melalui episod panjang perbicaraan di mahkamah.

“Selepas saya turun daripada melakukan sujud syukur, ayah dan ibu sudah memberikan isyarat yang positif supaya kami dapat meneruskan (perkahwinan) selepas ini,” katanya pada sidang media di pekarangan Istana Kehakiman, di sini.
Dalam masa sama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menzahirkan penghargaan kepada Bella yang tetap setia berada di sisinya sepanjang beliau berdepan proses perundangan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang sentiasa setia bersama. Bukan mudah kerana sebelum dia bersama dengan saya, saya merupakan pesalah.
“People forget that (orang lupa) di mahkamah, sebelum kemenangan 3-0 di Mahkamah Rayuan, saya merupakan salah seorang pesalah.
“Tetapi Bella tetap bersama dan Alhamdulillah pada hari ini saya tidak perlu lagi berjalan dengan beban itu. Saya amat menghargai jasanya,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasannya memberikan kelegaan besar selepas hampir enam tahun berdepan prosiding mahkamah.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Dengan keputusan majoriti 2-1 itu, beliau kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang pernah dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella Astillah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








