Muda desak Zahid letak jawatan TPM
PUTRAJAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri susulan keputusan pendakwa raya memberhentikan prosiding pertuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah.
Menurut Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi, Ahmad Zahid perlu meletak jawatan sehingga kesnya selesai supaya sebarang percanggahan kepentingan dapat dielak.
“Muda dan PSM bimbang bahawa institusi-institusi negara yang menjadi asas kepada demokrasi di Malaysia, terutamanya Pendakwa Raya, kini telah hilang kredibiliti disebabkan keputusan yang diambil.
“Langkah-langkah serius harus diambil oleh Kerajaan Madani untuk membendung persepsi negatif terhadap pengurusan negara yang kini wujud serta membaiki . kesan-kesan mudarat akibat penghentian prosiding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, wakil Muda bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menghantar surat bantahan terhadap keputusan Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) di Jabatan Peguam Negara (AGC) di sini, hari ini.
Dalam surat bantahan tersebut, Muda dan PSM turut mendesak AGC untuk memberi penjelasan penuh terhadap keputusan menghentikan prosiding ke atas Ahmad Zahid di Parlimen.
Tegasnya, suatu garis masa jelas harus diberikan untuk pemisahan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meminimumkan sebarang percanggahan kepentingan.
Mengulas lanjut, Amir berkata, pihak Muda dan PSM turut menuntut supaya semua tuntutan mereka dilaksanakan dalam masa lima hari bekerja, atau sebelum 18 September ini.
“Jikalau tiada respon yang memadai sebelum tarikh ini, kami akan teruskan dengan aksi tunjuk perasaan dalam semangat demokrasi untuk mengangkat suara kekecewaan rakyat Malaysia,” tegasnya.
Pada 4 September lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Semalam Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman secara rasminya mengumumkan penarikan diri Muda daripada menyokong Kerajaan Perpaduan, sekali gus menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Jelas Saddiq, tindakan kerajaan menggugurkan pertuduhan rasuah membabitkan Ahmad Zahid menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








