Keputusan mohon DNAA Zahid Hamidi dibuat ikut lunas undang-undang – AGC
PUTRAJAYA – Keputusan untuk memohon melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), permohonan DNAA oleh AGC pada 4 September 2023 itu dibuat berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu, termasuk keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Jabatan ini merujuk kepada laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini yang menyatakan bahawa satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, DNAA Ahmad Zahid.
“Permohonan semakan kehakiman tersebut membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, AGC berkata, pihaknya
mengambil maklum bahawa perkara itu melibatkan persoalan penting berkaitan keyakinan awam serta pentadbiran keadilan yang wajar.
Bagaimanapun, memandangkan perkara itu kini berada di bawah pertimbangan Mahkamah, AGC memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung merit permohonan berkenaan.
AGC turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, menguruskan perkara itu melalui saluran undang-undang yang ditetapkan serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan Mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








