Lesen platform e-dagang: MCMC tunggu terma dari KPDN, MOF – Nie Ching
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menunggu arahan serta maklum balas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menetapkan terma serta syarat pelesenan platform e-dagang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC mempunyai kuasa untuk melesenkan platform berkenaan berdasarkan kerangka perundangan sedia ada.
Walau bagaimanapun, katanya, terma dan syarat khusus bagi pelesenan itu perlu ditentukan terlebih dahulu oleh kementerian berkaitan.
“Bagaimanapun, apakah terma dan syarat yang akan dikenakan, itu sebenarnya yang kami sedang tunggu daripada arahan atau maklum balas MOF dan khususnya KPDN,” katanya memetik laporan RTM.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran media Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China 2026 (CBE 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurut Teo, perbincangan bersama MOF dan KPDN sudah diadakan bagi meneliti kaedah terbaik untuk mengawal selia platform e-dagang.
Katanya, MCMC bersedia melaksanakan proses pelesenan sebaik sahaja terma dan syarat berkenaan dimuktamadkan.
Beliau berkata, pelesenan itu tidak akan menyasarkan mana-mana platform tertentu, sebaliknya membabitkan semua platform e-dagang.
“Pelesenan itu tidak menyasarkan mana-mana platform secara khusus, sebaliknya melibatkan semua platform e-dagang bagi mewujudkan medan persaingan yang sama rata selain memastikan kepentingan pengguna Malaysia dilindungi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Teo berkata MCMC turut mengalu-alukan penyertaan peniaga tempatan dalam Ekspo CBE 2026 susulan kebimbangan terhadap kehadiran platform e-dagang dari China yang menawarkan produk pada harga rendah.
Ekspo berkenaan dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 November ini di KLCC.
Katanya, penyertaan vendor Malaysia dalam ekspo itu dapat membuka peluang kepada mereka untuk mengeksport produk ke pasaran serantau.
Pada masa sama, vendor luar negara yang mahu memasuki pasaran Malaysia disaran mendapatkan rakan kongsi tempatan yang sesuai.
Beliau berkata, vendor terbabit juga perlu memastikan produk yang ditawarkan mematuhi piawaian Malaysia selain selamat untuk pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














