BERITA SEMASA

MARA buka lebih banyak peluang pengajian bidang strategik di Turkiye – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian ke Turkiye menerusi usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperluas penawaran tajaan pendidikan dalam pelbagai bidang strategik di negara itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan tinggi kepada anak Malaysia di Turkiye.

Menurutnya, MARA turut akan memperkukuh jaringan kerjasama dengan syarikat serta pemain industri terkemuka Turkiye yang sudah dan bakal melabur di Malaysia bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, usaha itu antara hasil penting lawatan kerja rasmi MARA selama dua hari ke Istanbul, Turkiye bersama Ahmad Zahid bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi.

“Insya-Allah, kita mahu kerjasama ini berterusan dan memberi ruang kepada pelajar Malaysia untuk belajar di Turki serta dapat menerobos pasaran industri antarabangsa melalui kepakaran di negara berteknologi tinggi seperti Turkiye ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas pengisian lawatan itu, Asyraf berkata, delegasi berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama dua hala dalam pendidikan tinggi, TVET, pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi.

Selain itu, delegasi MARA turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YÖK), Prof Dr Erol Özvar bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi dan TVET antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, MARA menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) turut memeterai Surat Kerjasama (LOC) dengan dua universiti terkemuka Turkiye, iaitu Sabancı University dan Yıldız Technical University.

Katanya, kerjasama berkenaan membuka peluang lebih luas dalam pemindahan ilmu dan teknologi, program berkembar, dwiijazah, pertukaran tenaga pengajar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bidang strategik yang dikenal pasti termasuk teknologi pertahanan, aeroangkasa, maritim, kejuruteraan dan teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button