Cubaan lengah pelaksanaan tahanan rumah Najib umpama ingkar titah Agong – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan sebarang cubaan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai satu bentuk keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, semua pihak wajar menghormati kuasa prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda seperti yang termaktub dengan jelas di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Hormati titah dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Jangan derhaka,” tegasnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, Seri Paduka Baginda menerusi Lembaga Pengampunan telah membuat ketetapan rasmi serta menggariskan syarat-syarat khusus yang telah disempurnakan sepenuhnya oleh pihak Najib.
“Apa perlunya melengahkan lagi pelaksanaan tahanan rumah sedangkan denda sudah dibayar penuh?” soalnya lagi.
Beliau menambah, tindakan menangguhkan pelaksanaan titah diraja serta keputusan Lembaga Pengampunan bukan sahaja mengingkari kuasa institusi beraja, malah mencabuli hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan tegas itu hadir susulan makluman Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib perlu ditangguhkan buat sementara waktu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu perundangan menyelubungi pengampunan bersyarat berkenaan.
Menurut AGC, timbul persoalan sama ada pembayaran denda RM50 juta bermakna Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, atau hukuman tersebut dianggap telah selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment