BERITA SEMASA

Tegas kutip hutang MARA demi bantu lebih ramai anak bangsa – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Ketegasan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menguatkuasakan kutipan semula pinjaman bukan bertujuan menekan peminjam, sebaliknya langkah penting bagi memastikan kesinambungan bantuan kepada generasi baharu usahawan dan pelajar bumiputera.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, agensi itu sering menerima pelbagai pertanyaan dan rungutan di media sosial berhubung pengeluaran notis selepas tiga bulan tunggakan, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tindakan terlalu keras.

“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang WAJIB DIBAYAR. Ramai lagi anak bangsa kita yang perlu dibantu,” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Tegas beliau, setiap pinjaman yang disalurkan menggunakan dana awam wajar dibayar semula demi memastikan bantuan yang sama dapat diteruskan kepada peminjam lain.

Tangkap layar status Asyraf Wajdi mengenai penghutang MARA di Facebook.

Meninjau reaksi orang ramai, rata-rata pengguna media sosial menyokong pendirian MARA dan menyifatkan pembayaran semula pinjaman sebagai tanggungjawab moral serta amanah sosial.

“Habis hutang, beban pun hilang, rezeki diperluaskan. Kita pernah dibantu, wajiblah membantu orang lain pula,” tulis Norlina Ambok Selong.

“Konsep mudah. Dah nama pun pinjam mestilah bayar. Duit yang dipinjam itu pun duit rakyat. Biarlah duit itu berpusing kepada peminjam seterusnya. Rundinglah kadar bayaran yang sesuai. Penjamin dah mempertaruhkan kewangannya untuk jamin peminjam. Tak wajar disusahkan penjamin pula. Kena ada sikap yang betul di sini,” tulis Kamarul Md Shah pula.

“Nak tolong Melayu pun, kenalah bertempat. Hutang memang wajib dibayar. Bila hutang dapat dikutip balik, boleh bantu orang lain pula. Bila dah bergaji, selesaikan hutang dulu. Belanja secara berhemah, utamakan keperluan daripada kehendak. Financial planning, mesti ada. Insya-Allah, boleh survive,” kata Kartini Zakaria.

Untuk rekod, MARA menyalurkan pelbagai bentuk pinjaman termasuk pendidikan dan keusahawanan yang menjadi tonggak utama pembangunan ekonomi bumiputera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button