JHEAIPP siasat penglibatan pekerja Islam dalam aktiviti CSR di kuil
GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang menyiasat isu penglibatan pekerja beragama Islam dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membabitkan kerja pembersihan di Kuil Sri Kamatchi Amman, Jalan Dato Keramat, di sini.
JHEAIPP dalam kenyataan berkata, isu berkenaan tular di media sosial pada 8 Oktober lalu dan berdasarkan maklumat awal, aktiviti itu membabitkan kira-kira 20 kakitangan hotel.
“Pada 14 Oktober, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak pengurusan Citadines Connect Georgetown bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan program, bentuk penglibatan pekerja Islam, arahan kerja serta aspek sensitiviti agama.
“Pihak hotel memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu jabatan itu turut merujuk pandangan hukum Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi surat bertarikh 12 Oktober lalu, yang menyatakan penglibatan orang Islam dalam aktiviti pembersihan yang secara langsung menyelenggara ruang pemujaan serta kemudahan khusus bagi ibadat agama lain adalah haram.
“Larangan itu termasuk pembersihan patung sembahan, altar dan peralatan ritual, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2, yang menyeru umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan serta tidak membantu dalam dosa dan pencerobohan,” katanya.
Sebagai tindakan susulan, JHEAIPP akan memberikan bimbingan dan penerangan khusus kepada pekerja Islam yang terlibat berhubung pemeliharaan akidah, batas penglibatan di rumah ibadat bukan Islam serta pematuhan hukum syarak.
JHEAIPP turut merancang mengadakan program advokasi kepada pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kefahaman serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Dalam pada itu, JHEAIPP menegaskan pihaknya menyokong pelaksanaan aktiviti CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun penganjur perlu memastikan aktiviti berkenaan menghormati sensitiviti agama dan mematuhi batasan hukum syarak.
Sebarang keraguan, katanya, wajar dirujuk kepada pihak berautoriti agama.
“JHEAIPP akan meneruskan pendekatan pendidikan, advokasi, pemantauan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu tanpa penelitian pihak berautoriti bagi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian masyarakat berbilang agama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








