BERITA SEMASAPMX

Isu Rohingya legasi kerajaan terdahulu, perlu rundingan dengan PBB – PM

KUALA LUMPUR – Isu pengurusan etnik Rohingya di Malaysia merupakan isu legasi kerajaan terdahulu yang memerlukan masa dan proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum sebarang perubahan terhadap peraturan sedia ada dapat dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penglibatan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam isu berkenaan sebelum ini dibawa dan diperkenankan secara rasmi oleh kerajaan.

Menurutnya, sebarang usaha untuk mengubah peraturan berkenaan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan Malaysia tidak dilihat mengenepikan peraturan antarabangsa.

“Ini merupakan isu legasi. UNHCR dibawa dan diperkenankan secara rasmi oleh kerajaan pada ketika itu. Jadi, untuk meminda peraturan seperti yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri, kita tentu memerlukan masa dan juga proses rundingan dengan PBB.

“Pertama, supaya jangan nampak kita mengenepikan peraturan antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar pada masa sama bersetuju bahawa urusan berkaitan pelarian dan penentuan pihak yang layak mendapat perlindungan perlu dikendalikan oleh jentera kerajaan sendiri.

“Saya setuju dengan Ahli Yang Berhormat bahawa sebenarnya tindakan dan keputusan harus tegas diambil kerana urusan negara kita harus diuruskan oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar untuk menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan hanya membabitkan etnik Rohingya, malah jumlah rakyat Myanmar daripada etnik lain yang berada di Malaysia juga besar, dianggarkan antara 60,000 hingga 70,000 orang.

Katanya, mereka termasuk etnik Chin, Rakhine, Kachin, Mon, Karen dan Shan, dengan status mereka dari sudut Malaysia hampir sama dengan etnik Rohingya.

“Masuknya rakyat Rohingya ini bukan perkara baharu. Ini isu lama dan kita yang tolong selesaikannya,” katanya.

Anwar berkata, penyelesaian isu berkenaan perlu dilaksanakan secara berperingkat, termasuk melalui rundingan dengan pihak berkaitan bagi memastikan sebahagian daripada mereka dapat dibawa pulang ke Myanmar.

“Tetapi sekarang kalau ada 200,000, dia bawa balik dulu 10,000. Saya kata bawa dahulu yang mana boleh, kemudian dalam rundingan kita teruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia memilih pendekatan engagement dan rundingan menerusi ASEAN dalam menangani isu Myanmar, berbanding pendekatan Amerika Syarikat dan Eropah yang menurutnya lebih keras dengan menolak rundingan dengan negara berkenaan.

“Kita mengambil pendirian secara bebas, berunding untuk pertama, menyelesaikan masalah dalam negara kita. Masalah ini kalau tidak ditangani akan merebak menjadi permasalahan keselamatan yang serius dalam kalangan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button