Kerajaan tidak akan berdiam, tuntut pembebasan segera aktivis GSF – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri susulan penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa.
“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan.
“Kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri, kita sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan dengan segera,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Menurutnya, beliau sendiri telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden berkenaan.
“Ternyata rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis GSF di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan,” tegasnya.
Beliau juga menyifatkan situasi itu sebagai saat yang menguji nurani manusia sejagat dalam mempertahankan nilai kemanusiaan dan keadilan.
“Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia.
“Kita berdoa agar segala urusan dipermudah, mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas pihak Israel di perairan antarabangsa, sebelum para aktivisnya ditahan.
Insiden itu mengundang kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa serta usaha kemanusiaan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








