Perdana Menteri ucap takziah atas pemergian Karam Singh Walia
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh kewartawanan negara, Datuk Karam Singh Walia yang terkenal sebagai pejuang alam sekitar dan memberi inspirasi kepada masyarakat.
Ucapan takziah itu disampaikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menyifatkan mendiang sebagai seorang individu yang bukan sahaja berpengaruh dalam bidang kewartawanan, malah gigih memperjuangkan isu kelestarian alam sekitar walaupun menghadapi cabaran kesihatan.

“Segala jasa dan keberanian beliau dalam membela hak alam sekitar akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Semoga keluarga mendiang terus diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” kata Farhan dalam hantaran di Thread.
Menurut Farhan, beliau pernah menziarahi mendiang sekitar dua tahun lalu dan menyaksikan sendiri semangat juang yang tinggi dalam diri tokoh tersebut.
“Walaupun sedang diuji dengan keuzuran, semangat juangnya terhadap kelestarian alam tetap kental dan terserlah, menjadi inspirasi buat kita semua,” tambahnya.
Beliau juga menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Perdana Menteri kepada keluarga mendiang, sekaligus menekankan bahawa jasa dan dedikasi Karam Singh Walia dalam memperjuangkan alam sekitar akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia.
Karam Singh Walia dikenali sebagai tokoh kewartawanan yang berani dalam membela isu-isu sosial dan alam sekitar, dan pemergiannya dianggap kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia media, tetapi juga kepada gerakan kelestarian alam negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








