Asia Record lancar edisi ketiga buku pencapaian, ketengahkan kejayaan individu, organisasi
KUALA LUMPUR – Asia Record melancarkan edisi ketiga Asia Record Book of Achievement sebagai usaha memperluas dokumentasi pencapaian cemerlang individu, perniagaan dan organisasi dari seluruh rantau Asia.
Diterbitkan pada 27 Ogos lalu, edisi terbaharu itu menampilkan koleksi pemegang rekod serta pencapaian terkini yang diiktiraf oleh Asia Record, susulan sambutan menggalakkan terhadap dua edisi terdahulu.
Edisi pertama Asia Record Book of Achievement dilancarkan pada Februari 2025, manakala edisi kedua diterbitkan bersempena pelancaran rasmi media Asia Record pada 16 Oktober 2025.
Ketua Pengadil Asia Record, Datuk KK Chua berkata, buku tersebut bukan sekadar bertujuan mengiktiraf pemegang rekod, malah menjadi medium untuk menggalakkan orang ramai mencabar had kebiasaan dan mengejar pencapaian masing-masing.
“Setiap rekod mewakili lebih daripada sekadar gelaran atau angka. Di sebalik setiap pencapaian, wujud kisah tekad, inovasi, kecekalan, dan keberanian untuk melangkah keluar dari batas yang sebelum ini dianggap tidak mustahil,” kata Dato’ KK Chua.
“Menerusi Asia Record Book of Achievement, kami mahu semua pencapaian ini didokumentasikan secara rasmi, dikongsi dan dikenang. Lebih penting lagi, kami berharap kisah-kisah mereka dapat memberi inspirasi kepada masyarakat di seluruh Asia untuk mencabar diri sendiri dan menyedari potensi sebenar yang mampu mereka capai.
“Bagi para pemegang rekod pula, kami mahu buku ini menjadi warisan yang berterusan — sesuatu yang mendokumentasikan kejayaan mereka bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga bagi generasi akan datang,” katanya.

Baca juga : The Asia Records raikan kejayaan individu, organisasi di seluruh Asia
Penerbitan edisi ketiga itu didorong oleh peningkatan minat terhadap buku berkenaan, selain pertambahan jumlah pencapaian baharu yang telah diiktiraf organisasi tersebut.
Penerbitan itu bertujuan memberikan pendedahan lebih meluas terhadap pencapaian dari seluruh Asia, selain mewujudkan rekod kekal bagi memelihara kisah di sebalik kejayaan berkenaan untuk generasi akan datang.
Mengulas lanjut, KK Chua turut berharap penerbitan buku itu secara berterusan dapat menggalakkan penyertaan lebih meluas dari seluruh Asia, selain menarik perhatian terhadap kejayaan yang dicapai dalam pelbagai negara, industri dan komuniti.
Rekod yang didokumentasikan oleh Asia Record merangkumi pelbagai bidang termasuk keusahawanan, perniagaan, inovasi, teknologi, pendidikan, sukan, kebudayaan, hiburan dan pembangunan komuniti.
Melalui penerbitan secara berperingkat, Asia Record berhasrat membangunkan Book of Achievement sebagai sebuah arkib yang terus berkembang bagi merekodkan detik bersejarah serta tokoh dan organisasi di sebaliknya.
“Asia kaya dengan bakat dan pencapaian yang luar biasa, namun kebanyakan kisah ini masih belum diketahui ramai di luar industri atau negara masing-masing.
“Kami ingin menyediakan platform di mana pencapaian ini dapat diiktiraf dan dibawa kepada khalayak yang lebih luas. Pada akhirnya, kami mahu lebih ramai individu tampil ke hadapan, mencabar diri sendiri dan mengabadikan kejayaan mereka secara rasmi. Itulah maksud di sebalik slogan kami, ‘Make It Official’,” katanya.
Edisi ketiga itu menampilkan pencapai baharu yang diiktiraf oleh Asia Record berserta kejayaan masing-masing, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh kepada pembaca mengenai pencapaian terkini di rantau ini.
Naskhah Asia Record Book of Achievement kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama dan menerusi laman web rasmi Asia Record di www.asiarecord.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment