Thailand perketat kawalan ganja, cadang hukuman lebih berat
BANGKOK – Thailand merancang memperketat peraturan berkaitan ganja serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelanggaran undang-undang itu dalam usaha memperkukuh pencegahan dan penguatkuasaan dadah.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul berkata, cadangan pindaan Akta Narkotik berkaitan ganja dibincangkan pada mesyuarat ketiga tahun ini Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Khamis lalu.
“Dasar dadah mesti berpandukan bukti saintifik, fakta dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi Kerajaan Diraja Thailand.
Beliau berkata, kerajaan akan terus membezakan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan dengan penggunaan untuk tujuan rekreasi.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Awam bersama agensi berkaitan turut diarahkan memeriksa premis berlesen dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha yang melanggar syarat lesen, termasuk kemungkinan lesen mereka dibatalkan.
Anutin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pindaan undang-undang dadah bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap kesalahan pemilikan dadah, termasuk dalam kuantiti kecil.
Bagaimanapun, beliau berkata, aspek rawatan dan pemulihan perlu dipertimbangkan sewajarnya bersama tindakan undang-undang.
Dalam usaha membendung penyeludupan, beliau turut mengarahkan Jabatan Kastam mempergiat pemeriksaan, pengumpulan risikan dan pemeriksaan secara rawak bagi menghalang eksport barangan secara haram, khususnya yang berkemungkinan berkaitan dengan dadah.
“Eksport batang, daun dan putik bunga ganja mesti mematuhi undang-undang Thailand dengan ketat, manakala ekstrak kanabidiol (CBD) boleh dieksport tertakluk kepada keperluan pelesenan dan peraturan yang ditetapkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA),” katanya.
Thailand menyahjenayahkan ganja pada 2022, namun kebimbangan terhadap penggunaan untuk tujuan rekreasi dan perkembangan pesat perniagaan berkaitan ganja mendorong kerajaan mengambil langkah memperketat peraturan.
Pada 22 September lalu, Kabinet Thailand meluluskan draf Akta Ganja dan Hem untuk mengehadkan penggunaan ganja kepada tujuan perubatan sahaja serta menghapuskan pasaran penggunaan rekreasi secara berperingkat.
Dalam perkembangan berasingan, Anutin berkata, Majlis Keselamatan Negara telah mengadakan pertemuan dengan agensi keselamatan, risikan dan pentadbiran berkaitan bagi merangka strategi operasi bersepadu untuk wilayah sempadan selatan Thailand.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan semua agensi mempunyai pemahaman yang sama dan bekerjasama berdasarkan pelan strategik yang seragam,” katanya.
Beliau berkata, agensi keselamatan turut diarahkan memantau perkembangan dengan rapat, memperkukuh pengawasan serta menyelaraskan risikan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, selain memastikan ketenteraman awam dan keselamatan penduduk terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








