JENAYAH & MAHKAMAH

PGA rampas 1,550 pil Erimin 5 bernilai RM31,000 di Tumpat

KOTA BHARU – Sebanyak 1,550 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 bernilai kira-kira RM31,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Kampung Belukar, Pengkalan Kubor, Tumpat, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam ketika anggota menjalankan rondaan sebelum mengesan dua motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Ketika mengejar salah sebuah motosikal yang menghala ke Kota Bharu, anggota melihat penunggangnya membuang satu objek di bahu jalan di Kampung Belukar menghala ke Pengkalan Kubor.

“Pemeriksaan di kawasan semak berhampiran menemukan bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi 155 keping foil aluminium berwarna merah, diikat dengan gelang getah oren, berisi 1,550 biji pil disyaki Erimin 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button