Cegah penularan rabies, pemilik anjing di sempadan dengan Thailand digesa vaksin haiwan peliharaan
PASIR MAS – Pemilik anjing di negeri yang bersempadan dengan Thailand terutamanya Kelantan, diseru supaya memvaksin anjing mereka bagi mengurangkan risiko penularan penyakit rabies.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar (DVS) Malaysia, Dr Norhaliza Abdul Halim, rabies atau penyakit anjing gila masih menjadi ancaman yang memerlukan langkah pencegahan berterusan, lapor Berita RTM.
Jelas beliau, pemvaksinan haiwan peliharaan mengikut jadual yang disarankan penting bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan, selain memastikan anjing tidak dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.
“Anjing yang divaksin mempunyai ‘protective immunity’, iaitu imuniti terhadap penyakit itu. Jadi, sekiranya digigit, anjing berkenaan mempunyai perlindungan,”katanya ketika sidang media sempena Program Hari Rabies Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2026, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, rabies ialah penyakit berjangkit yang menyerang sistem saraf dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan melalui air liur haiwan yang dijangkiti, termasuk menerusi gigitan, cakaran atau pendedahan langsung kepada air liur berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 97 kes rabies dan 90 kematian akibat penyakit itu direkodkan di Malaysia bagi tempoh 2017 hingga 12 Oktober.
Sehubungan itu, orang ramai yang digigit atau dicakar haiwan disaran segera mencuci luka menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit sebelum mendapatkan rawatan perubatan bagi penilaian risiko serta rawatan susulan.
Kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam memastikan haiwan peliharaan menerima vaksin serta mendapatkan rawatan segera selepas terdedah kepada risiko jangkitan amat penting bagi membendung penularan rabies, sekali gus melindungi kesihatan awam dan keselamatan haiwan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








