PERHILITAN siasat video tular buaya baham anjing di Pantai Tanjung Gemuk
PORT DICKSON – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan susulan rakaman video tular yang memaparkan seekor buaya dipercayai sedang membaham seekor anjing di Pantai Tanjung Gemuk, di sini.
Video berdurasi 29 saat yang tersebar di media sosial itu dipercayai dirakam pada pukul 11.45 malam semalam dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pengunjung kawasan pantai berkenaan.
Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung kehadiran reptilia itu.
“Setakat ini tiada mana-mana individu tampil membuat aduan kepada Perhilitan dan kami hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas rakaman video berkenaan tular di media sosial.
“Malam ini anggota Perhilitan akan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau mengganggu haiwan liar sekiranya terserempak dengannya.
“Sebaliknya, orang ramai diminta segera memaklumkan kepada Perhilitan atau pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















