BERITA SEMASA

JPV minta lapor polis jika terdapat individu galak anjing serang haiwan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya mengesyaki atau mempunyai bukti terdapat individu yang menggalakkan atau memprovokasi haiwan untuk menyerang.

Menurut JPV Pulau Pinang, laporan berkenaan membolehkan perkara itu disiasat dan tindakan sewajarnya diambil, termasuk sekiranya melibatkan tindakan menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang yang boleh dilihat di bawah Seksyen 8, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

“Bagaimanapun, perkara berkaitan tindakan menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang boleh dilihat di bawah Seksyen 8, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peruntukan itu menyatakan, mana-mana orang yang tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang, menggalak atau mendorong mana-mana anjing atau haiwan lain untuk menyerang, membimbangkan atau menakutkan mana-mana orang atau haiwan boleh dikenakan denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan.

Kenyataan itu susulan tular dalam media sosial baru-baru ini rakaman video seekor anjing peliharaan menyerang anjing liar hingga mengalami kecederaan di Tanjung Bungah, dengan seorang lelaki dilihat memegang tali anjing peliharaan itu ketika insiden berkenaan.

Menurut JPV Pulau Pinang, setelah semakan dibuat terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], didapati tiada peruntukan yang jelas di bawah akta itu yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik atas kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan.

“JPV Pulau Pinang sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu menerusi saluran WhatsApp rasmi aduan MBPP dua hari lepas.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati anjing yang terlibat mempunyai lesen sah serta direkodkan sebagai anjing baka campuran.

Katanya, MBPP telah menangkap anjing itu semalam dan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button