BERITA SEMASA

MAPIM sokong larangan guna Waze, gesa kerajaan telus asas keselamatan

KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam perlu disusuli penjelasan telus mengenai asas penilaian keselamatan serta dasar yang konsisten terhadap semua platform digital.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah kerajaan itu wajar diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh keselamatan siber, melindungi kepentingan strategik negara dan memastikan penggunaan teknologi digital selari dengan tanggungjawab moral serta dasar luar Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu perlu berasaskan penilaian risiko yang jelas dan bukti yang boleh dinilai, bukannya sekadar tindakan simbolik.

“Kerajaan perlu menjelaskan asas penilaian keselamatan yang membawa kepada larangan Waze. Penjelasan tersebut penting supaya keputusan ini difahami sebagai langkah perlindungan kepentingan negara yang berasaskan bukti, bukannya tindakan simbolik yang terpisah daripada suatu kerangka keselamatan digital yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aplikasi digital bukan lagi sekadar alat kemudahan harian kerana penggunaannya boleh melibatkan pengumpulan data lokasi, corak pergerakan serta pemprosesan maklumat yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan individu, organisasi dan negara.

Sehubungan itu, MAPIM berpandangan Malaysia perlu mempunyai dasar kedaulatan digital yang jelas dan konsisten, khususnya dalam menilai aplikasi yang digunakan penjawat awam yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif atau terlibat dalam operasi strategik kerajaan.

Penilaian berkenaan, katanya, perlu merangkumi pemilikan korporat, bidang kuasa undang-undang, amalan perkongsian maklumat, keselamatan data serta tahap kawalan pengguna terhadap maklumat peribadi mereka.

Pada masa sama, Mohd Azmi mengingatkan bahawa asal usul sesebuah syarikat semata-mata tidak membuktikan produknya menyalurkan maklumat kepada kerajaan tertentu atau terlibat dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

“Dakwaan sedemikian perlu disokong oleh bukti yang boleh dinilai. Pada masa yang sama, pemilikan korporat, hubungan strategik dan bidang kuasa undang-undang merupakan faktor sah yang perlu dimasukkan dalam penilaian risiko,” katanya.

Mengulas kaitan keputusan itu dengan pendirian Malaysia terhadap Palestin, beliau berkata solidariti terhadap rakyat negara berkenaan perlu diterjemahkan melalui dasar institusi yang munasabah, termasuk penelitian terhadap hubungan ekonomi, teknologi, perdagangan dan kerjasama strategik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap tindakan perlu mempunyai asas kukuh, objektif yang jelas serta mekanisme pelaksanaan berkesan, selain mengambil kira fakta, pematuhan undang-undang dan kepentingan rakyat.

Justeru, MAPIM menggesa kerajaan menjelaskan sama ada larangan berkenaan berpunca terutamanya daripada penilaian keselamatan siber, pertimbangan pemilikan korporat, dasar berkaitan Palestin atau gabungan faktor tersebut.

MAPIM turut menggesa kerajaan memperluas penilaian risiko kepada keseluruhan ekosistem digital yang digunakan dalam perkhidmatan awam, termasuk aplikasi komunikasi, penyimpanan awan, kecerdasan buatan dan analitik data.

Mohd Azmi berkata, jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip penilaian yang sama perlu diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial.

Selain itu, kerajaan disaran memperkukuh pembangunan teknologi tempatan menerusi kerjasama antara agensi awam, universiti, penyelidik dan syarikat teknologi bagi mengurangkan kebergantungan strategik terhadap penyedia asing.

Katanya, aplikasi alternatif juga perlu dinilai berdasarkan ketepatan navigasi, perlindungan privasi, keselamatan siber, kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal supaya peralihan kepada platform baharu tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan awam atau mewujudkan risiko lain.

MAPIM mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan, termasuk penjelasan rasmi mengenai asas larangan, audit risiko digital secara menyeluruh, pelaksanaan dasar yang konsisten, penyediaan alternatif selamat berserta sokongan teknikal serta pengukuhan keupayaan teknologi tempatan.

Beliau menegaskan sokongan MAPIM terhadap usaha melindungi kepentingan strategik negara perlu disertai pembentukan dasar digital yang menyeluruh, telus dan konsisten.

“Malaysia mesti bergerak ke arah kedaulatan digital yang sebenar, dengan kemampuan menilai teknologi secara bebas, melindungi data rakyat, membina alternatif yang berdaya saing dan memastikan keputusan kerajaan sentiasa berpaksikan kepentingan awam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button